Pengenalan BUSINESS MODEL CANVAS (BMC) Untuk Usahawan

Tahun baru, azam baru, semangat pun baru! Mulakan tirai tahun 2019 dengan mempelajari lebih banyak ilmu bisnes. Bagi anda yang ingin menceburi bidang bisnes, baru berjinak-jinak dalam dunia bisnes atau ingin mengoptimumkan bisnes anda, Business Model Canvas (BMC) atau dikenali sebagai Kanvas Model Perniagaan merupakan satu model atau alat yang sangat berguna untuk para usahawan. Model ini mampu memberikan impak maksima dalam memacu kejayaan bisnes atau perniagaan yang anda usahakan.

 

Apakah itu BMC?

BMC mula diperkenalkan oleh Alexander Osterwalder melalui buku karya penulisannya yang bertajuk “Business Model Ontology”. Secara asas, BMC menggunakan model kanvas untuk memberikan gambaran komprehensif mengenai bisnes atau perniagaan yang diusahakan. Alexander menjadikan model ini sebagai teras pemangkin kejayaan sesuatu bisnes atau perniagaan.

Ini adalah disebabkan kerana model ini mampu memberikan gambaran yang jelas serta menerangkan secara terperinci setiap segmen atau elemen yang terlibat dalam sesuatu bisnes atau perniagaan. Dengan erti kata lain, BMC menjadikan pengurusan sesebuah bisnes atau perniagaan menjadi lebih strategik dan efisien dengan adanya carta visual yang mampu memberikan gambaran komprehensif mengenai struktur dan elemen yang terlibat. Model perniagaan ini juga menerangkan bagaimana sesebuah organisasi berfungsi dalam menggerakkan sesebuah perniagaan dan hubung kait setiap elemen. BMC menggariskan konsep yang mudah difahami, relevan dan telah banyak membantu para usahawan memahami serta mengoptimumkan struktur bisnes atau perniagaan mereka.

Antara syarikat-syarikat gergasi yang telah mengguna pakai model BMC dalam mengoptimumkan kegemilangan bisnes mereka ialah IBM, Ericsson dan Deloitte. Pendapatan tahunan IBM pada tahun 2015 adalah sebanyak USD$22.1 bilion manakala pendapatan tahunan Deloitte pada tahun 2016 adalah sebanyak USD36.8 bilion. Selain daripada syarikat-syarikat gergasi luar negara, syarikat – syarikat francais yang terdapat di negara ini seperti 7 Eleven, Baskin-Robbins, Starbucks dan McDonald’s juga menggunakan BMC untuk memberikan perincian komprehensif mengenai bisnes mereka.

 

Penjelasan lanjut..

Bagi anda yang masih kurang jelas mengenai kepentingan BMC kepada sesuatu bisnes atau perniagaan, cuba bayangkan anda ingin memiliki sebuah rumah. Anda diberi dua pilihan; mengupah seorang arkitek atau membeli sebuah rumah yang sudah siap. Jika anda membeli rumah yang sudah siap, prosesnya lebih cepat dan mudah TETAPI adakah anda tahu bahan-bahan yang digunakan untuk membina rumah tersebut berkualiti atau tidak? Jika anda memiliki rumah yang tidak berkualiti, anda akan rugi kerana rumah anda tidak dapat bertahan lama. Bagaimana pula dengan sistem bekalan air dan elektrik, adakah berfungsi dengan baik untuk tempoh masa yang lama? Adakah kos-kos lain yang terlibat?

Jika anda mengupah seorang arkitek untuk membina rumah anda pula, apa yang anda akan dapat bukanlah sekadar pelan struktur rumah sahaja. Anda akan dapat mengetahui setiap jenis bahan yang digunakan, ukuran dan saiz yang tepat bagi setiap ruangan, kos-kos yang diperlukan  dan semua butiran terperinci mengenai rumah anda. Selain itu, anda juga tahu kepada siapa anda harus bertanya atau merujuk jika menghadapi masalah dengan rumah anda.

Oleh itu, BMC ini boleh diibaratkan seperti pelan arkitek yang terperinci bagi menjamin kualiti dan faedah yang anda akan tuai pada masa hadapan. Jika anda dapat memahami dengan lebih terperinci dan jelas mengenai bisnes atau perniagaan yang anda usahakan, tentulah lebih mudah untuk menjalankan, memantau tahap pencapaian serta menangani masalah yang timbul. Tepuk dada tanya selera!

 

Penulis : E.ka @ Khaiz Empire

DAPATKAN PANDUAN RINGKAS CARA MENGISI TEMPLATE BMC
SECARA PERCUMA DI KHAIZ EMPIRE!

    Comments are closed

    Khaiz Empire
    C-1st-7, 1st Floor, Block C,Lorong Bizhub 1A,
    Bandar Sierra, Mile 13.5, Jalan Tuaran,
    88450 Kota Kinabalu, Sabah
    No DBKK : 0000159445 T
    © Since 2013 Khaiz Empire. All rights reserved.