Setiap usahawan inginkan kejayaan dalam bisnes yang diceburi. Memulakan bisnes itu mungkin mudah jika anda mempunyai modal yang cukup. Tapi, sejauh manakah bisnes anda mampu bertahan lama? Mampukah anda bersaing dengan ramai para usahawan di luar sana? Sejauh manakah daya saing anda mampu bertahan?
Ya, anda mampu! Bagaimana caranya? Salah satu caranya ialah luangkan sedikit masa anda untuk mempelajari ilmu bisnes BMC. Apa itu BMC? Rujuk posting yang terdahulu di sini.
Mengaplikasikan BMC, carta visual kanvas yang terhasil akan memberikan gambaran komprehensif mengenai sesebuah bisnes atau perniagaan. Dengan adanya model ini, BMC akan membantu para usahawan untuk memahami bisnes atau perniagaan yang mereka jalankan secara menyeluruh. Gambaran secara menyeluruh akan membantu para usahawan untuk mengenali struktur bisnes atau perniagaan yang mereka jalankan dengan lebih jelas dan terperinci. Oleh itu, para usahawan dapat memahami apakah kekuatan atau kelemahan yang mereka ada dalam bisnes.
Bayangkan, jika kita dapat mengetahui kelemahan dan kekuatan diri sendiri, kita boleh berusaha untuk meningkatkan diri dalam aspek yang kita mahir dan seterusnya mengatasi kelemahan diri. Begitu juga dalam dunia bisnes, proses membina dan mengoptimumkan potensi bisnes juga akan menjadi lebih mudah kerana kita telah dapat memahami selok – belok perniagaan yang dijalankan. Sebarang masalah yang timbul boleh diatasi kerana kita dapat melihat semua hubung kait, struktur dan segmen dalam bisnes yang kita jalankan seperti segmen pelanggan, sumber utama dan aliran pulangan.
Tidak dinafikan, model perniagaan (BMC) ini memberikan banyak manfaat dan impak positif kepada para usahawan. Walau bagaimanapun, penggunaan BMC tidak hanya terhad untuk para usahawan. BMC juga boleh diaplikasikan dalam kerja kursus atau kertas kerja program sekolah. Bagi para pelajar yang mengambil subjek perniagaan di peringkat sekolah menengah, adik – adik perlu menyiapkan satu projek atau kerja kursus rancangan perniagaan sebagai salah satu syarat wajib untuk ‘score’ atau lulus dalam mata pelajaran tersebut. Jika adik-adik aplikasikan penggunaan BMC dalam kerja kursus adik-adik, kerja kursus atau projek yang dilaksanakan akan menjadi lebih mudah untuk difahami, gambaran yang lebih terperinci dan lebih menarik.
Bagi guru penyelaras atau guru penasihat yang merancang untuk melaksanakan program-program sekolah, model kanvas ini juga boleh digunakan untuk menerangkan konsep dan pelaksanaan sesuatu program. Bukan itu sahaja, organisasi-organisasi lain seperti Badan NGO juga dilihat semakin cenderung untuk menggunakan BMC dalam sesebuah sistem organisasi. Jika anda merupakan seorang pekerja kolar putih (golongan pekerja yang bekerja di pejabat), tidak mustahil pada masa hadapan anda akan diminta untuk menyediakan kertas kerja untuk syarikat anda. Kertas kerja yang menggunakan BMC akan terlihat sangat professional dan menarik. Oleh itu, memahami konsep dan aplikasi BMC adalah sangat penting bagi menjamin kualiti kerja anda.